(FOTO HIASAN)
JOHOR BAHRU, 24 Februari - Pelajar di negeri Johor disaran melengkapkan diri dengan kemahiran sesuai sebagai persediaan menempatkan diri dalam sektor ekonomi digital yang semakin berkembang.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelajar digalakkan untuk menyertai bidang teknologi yang kini menawarkan peluang pekerjaan yang luas dalam bidang itu.
Menurutnya, aktiviti pelaburan luar ke Johor akan terus meningkat sekiranya negeri mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi, seterusnya memacu negeri itu kearah pembangunan ekonomi baharu.
Secara tidak langsung juga ia membuka peluang kepada Johor menjadi kuasa besar ekonomi di Malaysia.
"Dan di sini, (Johor sebagai kuasa besar ekonomi di Malaysia ), kita melihat kepentingan pembangunan bakat, kita boleh menggerakkan rantaian nilai kearah lebih baik dalam industri kritikal dan langkah ini dapat menjana pekerjaan berkualiti.
"Johor boleh, dan perlu bergerak kearah aktiviti nilai tinggi, jika kita mahu menjaga kelebihan persaingan kita, dan menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan Malaysia," kata Onn Hafiz di sini.
(Onn Hafiz berucap dalam Persidangan Antarabangsa Pemimpin Muda ke-8, di sini)
Johor kini giat mengadaptasi penggunaan teknologi dalam sektor industri seperti pembukaan pusat data baharu yang dapat menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata pendekatan inklusif dalam sektor pendidikan mampu mewujudkan pendidikan seimbang, bersifat holistik, dan pembangunan modal insan.
Tahap pendidikan yang tinggi mampu memanfaatkan negara dengan menghasilkan rakyat bersahsiah, pupuk semangat kekeluargaan serta menyumbang nilai positif kepada setiap lapisan masyarakat.
"Sifat inklusif dalam pendidikan juga memerlukan kita berfikir tentang kualiti, dan bukannya kuantiti, kita boleh merancang, tetapi langkah penting ialah melaksana, kita juga perlu fokus terhadap inti pati pendidikan secara menyeluruh, kita tidak mahu melahirkan pelajar yang bertindak seperti robot atau merendahkan nilai mereka untuk menyesuaikan diri dalam ekonomi, kata Onn Hafiz.
Katanya pendidik, ibu bapa dan pembuat dasar perlu menyesuaikan diri dengan pendekatan digitalisasi dalam sistem pembelajaran, selaras dengan perkembangannya.