fb fb fb fb fb

BELANJAWAN 2023: Pertanian bandar semakin popular dalam kalangan warga kota

(Kebun Komuniti Garden 8 Taman Perwira di Gombak)

KUALA LUMPUR, 16 Februari - Pertanian bandar semakin mendapat tempat dalam kalangan warga kota terutamanya, sejak pandemik COVID-19.

Perubahan ketara itu terbukti selepas pertambahan penglibatan seramai 36,275 orang pada 2020 berbanding 18,687 orang pada tahun sebelumnya.

Kebun Komuniti Garden 8 Taman Perwira di Gombak tidak melepaskan peluang untuk menjadikan taman perumahan mereka sebagai projek kebun meskipun tinggal di ibu kota.

Oleh itu, sektor pertanian bandar wajar diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023 bagi memastikan rantaian bekalan mencukupi serta selamat untuk rakyat.

Ahmed Thaqif Iman Iqmal Fajri, 23 tahun merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media berkata untuk menarik minat golongan belia dalam sektor pertanian beliau akui pendekatan teknologi adalah yang terbaik

"Penglibatan anak muda dapat ditambah lagi dalam sektor pertanian dari aspek pemasaran, digital atau apa sahaja kepakaran yang mereka arif," katanya ketika ditemui RTM.

Selain itu, pengasas Kebun Komuniti Garden 8, di Gombak, Aida Haniza Adnan turut memaklumkan selain peruntukan, beberapa bengkel perlu dianjurkan untuk meningkatkan pengetahuan mereka.

"Peruntukan dana diperlukan untuk membolehkan kami terus berkebun seperti pemberian benih, baja dan racun kawalan serangga. Dari segi ilmu untuk memantapkan lagi pengetahun, boleh anjurkan lebih banyak kursus mengenai pertanian," katanya.

(Kebun Komuniti Garden 8 Taman Perwira di Gombak pasti memukau mata setiap pengunjung ke taman perumahan ini)

Kebun Komuniti Garden 8 Taman Perwira pernah memenangi hadiah utama bagi kategori Penyelenggaraan Terbaik 2021/2022.

Lorong belakang rumah penduduk taman perumahan ini melibatkan 47 buah rumah ditukar kepada lorong kebun yang sangat menakjubkan.

Pertanian bandar, bermula dengan program bumi hijau yang dilaksana Jabatan Pertanian pada 2006 bertujuan untuk menghasilkan bekalan makanan isi rumah selain menambah pendapatan.

Sejak COVID-19 pula, orang ramai mula bercucuk tanam di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sukar mendapatkan keperluan asas.

Menjelang Belanjawan 2023, Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hassan berharap peruntukan sewajarnya dapat diberi untuk memperkasa, dan memantapkan lagi sektor berkenaan selain turut merangka pendekatan baharu untuk menarik minat golongan muda.

"Bagi pihak Jabatan Pertanian, kami berharap program pertanian bandar ini mendapat perhatian dan diberikan tumpuan dalam Belanjawan 2023. Pihak kerajaan dapat memberikan sesuatu memberikan lebih dari kebiasaan untuk kembangkan program ini," katanya.

Tambah Zahimi, beberapa pendekatan lain diambil untuk menarik minat golongan muda dalam sektor tersebut.

"Untuk memikat golongan muda, kita gunakan pendekatan sama iaitu teknologi. Teknologi itu seiring dengan yang digunapakai golongan itu. Kita masukkan pertanian dalam kehidupan mereka, dan mereka terus terlibat dengan pertanian lebih moden," ujarnya.

(Kebun Komuniti Garden 8 Taman Perwira di Gombak pasti memukau mata setiap pengunjung ke taman perumahan ini)

Pertanian bandar, dijangka dapat mengurangkan kos sara hidup.

Pada 2021, penjimatan RM1269.00 manakala, pertambahan penjimatan sebanyak RM1680.00 pada 2025.

Selain itu, pertanian bandar jua dijangka menghasilkan 8,800 metrik tan makanan yang selamat dan berkualiti menjelang 2025.


(Kebun Komuniti Garden 8 Taman Perwira di Gombak pasti memukau mata setiap pengunjung ke taman perumahan ini)

Media Baharu