fb fb fb fb fb

Presiden Jerman adakan lawatan negara ke Malaysia selepas 26 tahun

PUTRAJAYA, 16 Februari- Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier tiba di Malaysia sempena lawatan negara selama tiga hari bermula hari ini.

Ia merupakan sebahagian usaha berterusan mengukuhkan hubungan erat sedia ada antara Malaysia dan Jerman.

Pesawat yang membawa presiden, isteri, Elke Büdenbender serta delegasi itu mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.12 petang tadi.

Ketibaan mereka disambut Menteri Pengiring, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga merupakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer.

Sejurus tiba, Steinmeier disambut dengan kawalan kehormatan setempat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

(Steinmeier dan isteri, Büdenbender tiba di Malaysia pada pukul 6.12 petang
sempena lawatan negara selama tiga hari)

Esok beliau akan diberikan Sambutan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di dataran Parlimen sebelum melakukan kunjung hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada pukul 5.00 petang.

Manakala pada sebelah malam, beliau akan menghadiri Majlis Jamuan Negara di Istana Negara.

Lawatan tersebut memberi peluang terbaik kepada Malaysia dan Jerman untuk mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama pelbagai bidang sekaligus mengeratkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Berlin.

Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dengan nilai perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9 peratus berjumlah RM59.87 bilion (US$13.62 bilion) pada 2022 berbanding RM53.99 bilion (US$13.03 bilion) direkod pada 2021.

Lawatan negara terakhir oleh Steinmeier ke Malaysia adalah 26 tahun lepas iaitu pada April 1997.

Media Baharu