fb fb fb fb fb

Belanjawan 2023 : Isu peruntukan rendah atau tidak cukup, sering jadi 'retorik' semasa - Fadillah

KUCHING, 4 Mac- Isu berhubung peruntukan yang rendah atau tidak mencukupi adalah perkara yang sering menjadi retorik semasa pembentangan Belanjawan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, ini termasuk berhubung peruntukan pembangunan yang lebih besar diberikan kepada Sabah berbanding Sarawak di bawah Belanjawan 2023.


(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof)

Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM5.6 billion manakala Sabah diperuntukkan sebanyak RM6.5 billion.

Datuk Seri Fadillah menjelaskan, peruntukan yang disalurkan kepada Sarawak tidak seharusnya dilihat dari segi peruntukan pembangunan di bawah belanjawan tahunan semata-mata, sebaliknya peruntukan-peruntukan lain yang diterima antara kedua-dua negeri tersebut.

Ini termasuk Pemberian Khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan apabila Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan kadar peruntukan kepada Sarawak kepada RM300 juta.

Beliau menambah perkara yang lebih penting daripada membandingkan jumlah peruntukan yang diterima antara Sarawak dan Sabah adalah seharusnya fokus untuk kedua-dua kerajaan negeri memastikan peruntukan yang diterima dimanfaatkan sepenuhnya.

"Tapi yang penting bagi saya ialah bila ada peruntukan, kita kena fokus dengan bagaimana kita hendak pastikan projek atau program yang diperuntukkan dapat dilaksana secara berkesan. ada peruntukan tapi tidak dibelanja dan guna. Kita bila ada peruntukan mesti dibgunakan sebaik mungkin," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Santai Minum Pagi bersama Protem Sayap Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dari kawasan Dewan Undangan Negeri Tupong, Satok dan Samaring di Kuching hari ini.

Semasa program santai berkenaan, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menyuarakan aspirasi untuk mewujudkan sebuah Pusat Latihan bagi mengasah sifat kepimpinan dalam kalangan belia bukan sahaja dalam bidang politik tetapi juga korporat, kemasyarakatan dan Badan Bukan Kerajaan.

Fadillah berharap impian tersebut dapat direalisasikan dalam penggal ini.


Media Baharu