FOTO BERNAMA
IPOH, 13 Januari - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua pihak agar terus bekerjasama untuk melindungi alam sekitar dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim.
Langkah itu penting demi kemakmuran berterusan dan kelangsungan hidup.
Titah baginda bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini sekali lagi dengan jelas menunjukkan bahayanya kesan yang dibawa oleh perubahan iklim.
"Kesan aktiviti manusia terhadap hidupan liar, iklim, sungai, hutan dan lautan adalah mendalam, seperti akibat kepada manusia.
"Memulihkan kesihatan planet kita memerlukan semua usaha kita, daripada kerajaan ke sektor swasta kepada orang awam juga", titah Sultan Nazrin secara maya bersempena Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, bertemakan 50 Tahun - Bersama Alam Semulajadi.
Titah baginda lagi, selain membantu penduduk terjejas, kerajaan juga perlu berani mencari inisiatif baharu untuk menangani punca utama bencana tersebut.
Dalam masa sama, organisasi seperti WWF Malaysia akan terus berada di barisan hadapan untuk tempoh 50 tahun dan seterusnya bagi menghadapi cabaran mendatang.