fb fb fb fb fb

Bekas jurulatih dodgeball mengaku tidak bersalah aib kehormatan dua murid lelaki

(FOTO HIASAN)

PETALING JAYA, 6 Oktober- Seorang bekas jurulatih sukan dodgeball didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas dua pertuduhan mengaibkan kehormatan dua murid lelaki, tahun lepas.

Terence Ee Soon Lee, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Tertuduh didakwa mengganggu kesantunan dua kanak-kanak yang ketika kejadian berusia 11 tahun, di sebuah sekolah jenis kebangsaan di Damansara, antara 2 petang dan 2.30 petang, pada November dan Disember 2022.

Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal menawarkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam Datuk Thrichelvam Rasiah yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM6,000 mengambil kira faktor anak guamnya tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar jaminan berikutan dipanggil oleh pihak pendakwaan dalam masa yang singkat.

"Tertuduh telah ditamatkan perkhidmatan sebagai jurulatih dodgeball di sekolah itu. Dia merupakan penanggung tunggal keluarga dan perlu menjaga dua anak yang masih kecil,” katanya.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bagi dua pertuduhan itu berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 29 Nov ini untuk sebutan kes.


(FOTO HIASAN)

Media Baharu