PADANG TERAP, 6 Oktober- Sebanyak 223 notis saman dikenakan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan kerana membawa lebih muatan.
Ia hasil Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) yang dijalankan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Kedah di sekitar daerah Pokok Sena dan Padang Terap.
Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata, selain lebih muatan, kesalahan lain termasuk membawa muatan secara berbahaya dan kesalahan-kesalahan teknikal pada kenderaan.
Operasi bertujuan memastikan semua pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan mematuhi peraturan dan undang – undang yang berkuatkuasa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) dan Kaedah – Kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
Penguatkuasan berterusan terhadap kenderaan perdagangan akan diteruskan dalam usaha mengurangkan risiko berlakunya kemalangan melibatkan kenderaan berkenaan.
Aman turut mengingatkan pengusaha lori yang beroperasi membawa muatan supaya patuh kepada had muatan lori yang telah ditetapkan.
(Salah satu lori terlebih muatan diberi notis saman dalam operasi dijalankan
di sekitar daerah Pokok Sena dan Padang Terap)