(Foto BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Malaysia berada pada landasan tepat dalam mengorak langkah ke arah transformasi digitalisasi bagi memanfaatkan teknologi rangkaian generasi kelima (5G).
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata langkah syarikat itu melancarkan Rangkaian Persendirian 5G PETRONAS secara komersial dapat memacu penggunaan 5G di seluruh negara.
Jelas Fahmi, PETRONAS telah menjadi syarikat pertama di Malaysia menggunakan rangkaian itu bagi tujuan komersial. Penggunaan 5G di PETRONAS juga mampu melonjakkan lagi produktiviti terutamanya yang melibatkan operasi teknikal.
"Di pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), saya akan memastikan liputan 5G mencapai 80 peratus menjelang penghujung tahun ini.
"Saya berharap lebih banyak syarikat swasta lain mengambil peluang untuk menggunakan teknologi 5G, sekali gus meningkatkan penggunaan 5G di Malaysia.
"Insya-Allah lebih banyak mengambil pendekatan 5G akan diambil terutama pada masa hadapan.
"Kita lihat beberapa aspek berfaedah 5G seperti kadar berkelajuan tinggi dan lebih banyak peranti boleh disambungkan ke titik akses.
"Ia dapat membantu memacu kecekapan, meningkatkan hasil dan produktiviti untuk organisasi seperti PETRONAS," katanya kepada media selepas pelancaran Rangkaian Persendirian 5G PETRONAS.
Tambahnya, setakat September 2023, liputan rangkaian 5G Malaysia di kawasan berpenduduk mencecah 70.2 peratus dan langganan 2.49 juta dengan kadar penembusan 7.4 peratus.
(Foto BERNAMA)
ARTIKEL BERKAITAN
5G berperanan penting, sokong pertumbuhan negara - TPM