fb fb fb fb fb

Bekas CEO JCorp mengaku tidak bersalah perdaya ahli lembaga pengarah

JOHOR BAHRU, 22 Mac- Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memperdayakan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JCorp, melibatkan pelaburan RM9.46 juta di dua buah syarikat, tiga tahun lepas.

Datuk Kamaruzzaman, 58 tahun membuat pengakuan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Julai 2019, antara pukul 9.30 pagi hingga 1.45 tengah hari di Bilik Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, Tingkat 25 Menara Komtar, Johor Bahru.

Dia sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp memperdayakan dengan tidak memaklumkan kedudukan syarikat World Logistic Council Limited yang tidak mampu meneruskan operasi.

Tertuduh secara tidak jujur mendorong Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JCorp bersetuju dengan pembentangannya, hingga menyebabkan wang berjumlah AS$2.25 juta dolar Amerika daripada dana sementara dilabur dalam Syarikat World Logistic Council Limited dan Syarikat World Logistic Council Americas LLC, yang mana ahli-ahli lembaga pengarah itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya.


(Tertuduh Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim
ketika tiba di Mahkamah Sesyen/Majistret Johor Bahru)

Dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda.

Mahkamah menetapkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Tertuduh juga perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat sebulan sekali, selain menyerahkan pasport antarabangsa sebelum 24 April kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa raya SPRM, Zander Lim Wai Kiong, manakala tertuduh diwakili Peguam, Ragunath Kesavan.

25 Mei ditetapkan bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan senarai saksi pendakwaan.

Media Baharu