KEMAMAN 15 Ogos– Tiada sebarang bahan kimia berbahaya atau mayat manusia ditemukan dalam sebuah kapal 'hantu' yang hanyut di perairan pelantar minyak Semangkok, Terengganu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pada bangkai kapal tersebut tidak menemukan sebarang petanda berlakunya korban jiwa.
Menurutnya, pihak bomba menggunakan beberapa peralatan khas berteknologi tinggi bagi mengesan sebarang bacaan daripada bahan kimia atau gas berbahaya di ketiga-tiga aras kapal.
"Memandangkan tiada sesiapa dalam kapal berkenaan, bahayanya kita tidak tahu apa punca kebakaran sama ada melibatkan gas, minyak ‘crude’ ataupun sebagainya.
"Maka, bahaya untuk krew dan juga kepada kapal penunda termasuk 'hazard' sentiasa ada," katanya.
Beliau menjelaskan, hasil pemeriksaan dijalankan 17 anggota dari Unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada setiap bahagian kapal yang terbakar bagi memastikan tiada ancaman bahan kimia berbahaya dalam kapal berkenaan.
Operasi bersepadu menunda kapal berkenaan disertai 62 anggota membabitkan pelbagai agensi keselamatan, industri minyak dan gas.
Kapal berkenaan selamat tiba di perairan Kemaman kira-kira pukul 11.30 minit pagi tadi selepas ditunda sejauh kira-kira 200 batu nautika dari lokasi penemuan.
Kapal ‘hantu’ seberat 293 tan itu akan diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut.
Selain itu, pihak Maritim akan menjalankan rondaan secara berkala di sekitar kawasan kapal bagi memastikan tiada aktiviti pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.