KUALA LUMPUR, 22 Mac- Harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi ketika ini adalah disebabkan oleh gangguan yang berlaku terhadap bekalan minyak sayuran dunia seperti minyak kacang soya dan minyak sawit.
Menurut Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin, harga terkini MSM setakat 8.30 pagi semalam adalah RM6,351.50 bagi satu tan.
Jelasnya, pengeluaran minyak sayuran dunia pada tahun ini diunjur mencatat pertumbuhan positif dan harganya akan kembali stabil di pasaran.
"Bagi memastikan harga MSM kekal stabil di masa hadapan, pihak kementerian telah mengambil beberapa langkah strategik seperti meningkatkan pengeluaran sawit menerusi penambahan pekerja asing ke sektor perladangan sawit.
Selain itu, meneruskan program penanaman semula sawit dan melancarkan kontrak niaga hadapan MSM khusus untuk Wilayah Sabah serta Sarawak," katanya ketika menjawab pertanyaan wakil Beufort, Datuk Seri Azizah Mohd Dun di Dewan Rakyat.
(Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin)
Tambah beliau, usaha meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit dan produk berasaskan sawit dibuat melalui pengukuhan pasaran sedia ada seperti di Pakistan, Turki, negara-negara ASEAN dan penerokaan pasaran baharu ke Benua Afrika, negara Timur Tengah dan Benua Amerika.
Mengulas lanjut, permintaan terhadap minyak sawit ketika ini adalah sangat menggalakkan sehingga bekalan minyak sawit tidak mencukupi di pasaran semasa.
"Ia juga ditambah dengan polisi kerajaan Indonesia yang tidak menggalakkan pengeksportan minyak sawit keluar dari negara itu sekaligus meningkatkan permintaan minyak sawit negara.
Kementerian juga memperkukuh kerjasama strategik dengan Indonesia menerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit dan melaksanakan secara mandatori Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO)," katanya.