SEPANG, 7 Jun- Bekalan ubat-ubatan di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada di hospital atau klinik kesihatan adalah mencukupi dan tidak berlaku gangguan bekalan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
“Buat masa ini tiada masalah. Bekalan (ubat-ubatan) sentiasa mencukupi, kita sentiasa pantau untuk memastikan tahap stok ubat-ubatan di fasiliti kami mencukupi,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan berlaku kekurangan bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal akibat permintaan tinggi selepas pandemik COVID-19 dan pembukaan semula aktiviti ekonomi.
Khairy bagaimanapun berkata situasi itu dilaporkan berlaku di fasiliti kesihatan swasta termasuk farmasi.
Menurutnya, antara maklum balas yang diterima KKM dalam sesi libat urus dengan pihak industri farmaseutikal pada 2 Jun lepas bagi mendapatkan gambaran mengenai bekalan ubat-ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport, terdapat kekurangan bekalan ubat-ubatan untuk merawat cirit-birit, demam, selesema, batuk, antibiotik dan vitamin C.
Beliau telah mengarahkan Bahagian Perkhidmatan Farmasi supaya bekerjasama dengan persatuan farmasi di Malaysia termasuk pengeluar ubat-ubatan untuk mencari bekalan alternatif sekiranya masalah kekurangan itu berterusan.
Ketua Setiausaha KKM Datuk Harjeet Singh telah diarah supaya menyediakan perancangan termasuk strategi jangka sederhana dan panjang sebagai persiapan sekiranya masalah bekalan ubat-ubatan berlaku di fasiliti kesihatan KKM.
(Khairy Jamaluddin berkata bekalan ubat di fasiliti kesihatan KKM mencukupi)
Berita berkaitan
KKM kaji keperluan naik taraf BKKM sebagai pihak berkuasa - Khairy
Pengusaha makanan yang beroperasi dari rumah digalak daftar KKM
“Kami (KKM) perlu ada strategi (tangani kekurangan bekalan ubat-ubatan) sama ada cari sumber pasaran dari negara baharu atau bekerjasama dengan industri farmaseutikal tempatan agar bekalan tidak terjejas pada masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Khairy mahu pengarah dan ketua jabatan fasiliti kesihatan KKM melaporkan segera sekiranya berlaku kekurangan tenaga kerja atau kekosongan jawatan di fasiliti masing-masing bagi mengelak berlaku bebanan tugas dalam kalangan pegawai perubatan sedia ada.
“Saya sendiri tidak puas hati kalau ada aduan berhubung situasi ini,” katanya mengulas luahan pengguna akaun Twitter yang mendakwa isterinya terpaksa bertugas secara ‘on call’ (tunggu sedia) setiap hari selama tiga bulan kerana rakan sekerja mengambil cuti bersalin.
Khairy berkata pihaknya sedang menunggu laporan daripada pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan gejala buli di hospital KKM bagi mencari penyelesaian berhubung jadual kerja, etika kerja dan elaun ‘on call’.
"Kami bagi dua bulan kepada pasukan khas untuk keluarkan satu laporan menyeluruh. Sudah tiga minggu pasukan ini bekerja dan berbaki lagi lima minggu untuk siapkan laporan," katanya.
Bagi melancarkan tugas pasukan khas itu, Khairy menggesa semua pegawai perubatan KKM agar memberi maklum balas terhadap borang kaji selidik yang telah di-e-mel kepada mereka.
"Kaji selidik ini penting kerana terdapat soalan mendalam mengenai persekitaran kerja di KKM," katanya serta menambah ketika ini seramai 40,000 pegawai perubatan KKM telah melengkapkan borang kaji selidik berkenaan.
Beliau menyasarkan 60,000 pegawai perubatan KKM turut serta dalam kaji selidik itu bagi memastikan maklumat tepat dan menyeluruh diterima pasukan khas yang ditubuhkan bulan lepas. -BERNAMA