fb fb fb fb fb

GiatMARA Perlis laksana program CSR santuni warga emas, pelajar tahfiz

GiatMARA Perlis melaksanakan aktiviti CSR melalui program latihan kemahiran modul Jahitan Baju Kurung dan Kurta

ARAU, 15 Mac- Tiga buah GiatMARA iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar mengambil inisiatif melaksanakan satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui program latihan kemahiran modul Jahitan Baju Kurung dan Kurta bagi menyantuni golongan warga emas dan pelajar Tahfiz sempena Ramadan ini.

Program tersebut melibatkan 20 pelatih dalam bidang jahitan. Mereka menyediakan masing-masing 20 pasang baju kurung dan kurta khususnya buat penghuni Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Baitul Hannan dan Maahad Tahfiz Baiturrahim.

Menurut Pengarah GiatMARA Negeri, Harun Radzi, peruntukan bagi menyediakan baju kurung dan kurta berkenaan hasil sumbangan warga kerja GiatMARA Perlis dan jawatankuasa penasihat GiatMARA Arau.

Proses menghasil dan menjahit baju kurung dan kurta berkenaan diselia oleh empat tenaga pengajar bagi kursus jahitan.

"Selain mengasah latihan kemahiran yang dipelajari, para pelatih turut memperoleh pahala amal jariah dengan menyediakan baju kurung untuk warga emas di Baitul Hannan serta pelajar Tahfiz.

"Program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia dilihat memberi impak yang sangat baik kepada pelatih yang mana bukan sahaja menghasilkan baju kurung dan kurta berkualiti tetapi pada masa sama dapat meningkatkan idea, selain memupuk bakat keusahawanan dalam diri sebaik tamat kursus jahitan", katanya.

Kesemua pakaian yang dijahit tersebut akan diserahkan di dalam satu majlis yang dijangka akan diadakan pada 4 April 2024 di Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Baitul Hannan.

ROSLINA BINTI DIN