fb fb fb fb fb

Bekalan telur ayam cukup sepanjang Ramadan, Aidilfitri

MERLIMAU, 2 April- Bekalan telur ayam sepanjang Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara mencukupi.

Jaminan itu diberikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) khususnya untuk bekalan telur Gred AA, A dan B yang menjadi bahan utama bagi pembuatan biskut dan kek raya.

Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, pihaknya juga sentiasa proaktif bagi menambah bekalan telur di negeri-negeri Pantai Timur dengan melaksana sesi libat urus bersama pemain industri.

"Pihak FAMA selalu membuat rundingan dengan pembekal.

"Bila berlaku kekurangan di sesuatu tempat kita akan berbincang dengan mereka, kita ingin menambah bekalan di tempat tersebut.

"Macam saya kata kekurangan di pantai timur sebab tidak ada ladang besar yg boleh menampung tiga negeri utama Kelantan, Terengganu, Pahang, tempat lain insya-Allah tidak ada isu sangatlah," katanya.

(Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri)

Tambah beliau, sehingga 31 Mac, FAMA telah mengedarkan sebanyak 21.5 juta biji telur melalui 369 outlet pemasaran FAMA di seluruh negara.

Buat masa ini, FAMA memperoleh bekalan dari tujuh negeri pembekal utama komoditi berkenaan iaitu Melaka, Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

Beliau memaklumkan demikian kepada pemberita selepas Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Ramadan Madani@Pasar Tani Merlimau, Jasin.

Media Baharu