PENGERANG, 15 Mac- Bekalan pertanian seperti sayuran di Johor masih mencukupi terutama semasa Ramadan nanti walaupun beberapa kawasan tanaman dilanda banjir.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, Johor mendapat bantuan bekalan dari negeri-negeri jiran seperti Melaka, Pahang dan Kuala Lumpur.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga akan membuka Agro Bazar di beberapa lokasi yang terjejas, selain bazar sedia ada di 35 lokasi ketika ini.
Agro Bazar itu dijangka dibuka di daerah terjejas banjir seperti Segamat dan Batu Pahat, selepas banjir pulih.
"Kerugian sedang dibanci, pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang bantu pihak kementerian luar bandar, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, FAMA buat kajian nanti kita lihat kerosakan dan permohonan mereka.
"Kita pertimbangkan insya-Allah dijamin oleh FAMA akan dibawa ke tempat-tempat lain, untuk memenuhi permintaan bulan Ramadan," katanya pada majlis Penyerahan Bantuan Nelayan Pengerang di Kota Tinggi.
Anggaran jumlah kerugian pertanian akibat banjir di Johor akan diperoleh dalam tempoh sebulan selepas banjir pulih.
(Mohamad Sabu)