fb fb fb fb fb

Bekalan paracetamol berkurang di pasaran

 

KUALA LUMPUR, 18 Februari- Bekalan paracetamol, ubat yang lazimnya digunakan bagi melegakan demam dan sakit kepala, dilaporkan mengalami kekurangan dan agak sukar didapati di farmasi komuniti dan kedai serbaneka di ibu negara serta beberapa tempat lain. 

Menerusi tinjauan di premis farmasi komuniti baru-baru ini, bahagian rak yang mempamerkan bekalan ubat berkenaan, terutamanya sebuah cap dagang terkemuka, didapati kosong berikutan permintaan tinggi daripada pengguna lebih-lebih lagi ketika angka kes COVID-19 yang semakin tinggi sejak kebelakangan ini.

Perkara itu juga dipercayai berpunca daripada pembelian meningkat sebagai persediaan mengurangkan kesan sampingan seperti demam, sakit sendi dan sakit kepala selepas menerima suntikan dos penggalak, demikian menurut beberapa pegawai farmasi yang ditemui.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang yang turut mengesahkan perkara itu berkata menerusi maklumat diterimanya, masalah kekurangan paracetamol terutamanya melibatkan cap dagang terkemuka itu tidak hanya berlaku di ibu negara, tetapi juga di beberapa negeri lain.

Jelasnya, perkara itu sudah berlaku sejak beberapa bulan lepas berikutan pembelian yang agak tinggi ketika musim pandemik COVID-19, selain mungkin turut berkaitan dengan isu logistik membabitkan pengilang dan pengedar bagi ubat berkenaan. 

“Saya dapat info daripada rakan-rakan di seluruh negara, kekurangan ini sudah berlaku beberapa bulan, mungkin boleh dapatkan maklumat daripada syarikat berkaitan sama ada perkara ini berlaku di peringkat pengilangan atau pengedaran.

“Sebab semua yang terlibat dengan pembuatan sama ada melibatkan ramuan bahan, atau peringkat pembungkusan dan logistik akan mempengaruhi ketersediaan stok di seluruh negara,” katanya. - BERNAMA

 

Media Baharu