ALOR SETAR, 2 Ogos- Bekalan minyak masak di Kedah mencukupi untuk kegunaan pengguna.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna (KPDNHEP) negeri Kedah Affendi Rajini Kanth berkata bekalan sentiasa ada termasuklah minyak masak paket satu kilogram yang mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna susulan daripada penarikan semula subsidi minyak masak botol.
(Pegawai KPDNHEP membuat pemeriksaan minyak masak di sini)
Katanya berdasarkan pemeriksaan pasukan penguatkuasa hari ini terdapat beberapa kedai yang dilawati telah kehabisan stok dan menunggu penghantaran yang seterusnya.
Manakala minyak masak botol satu kilogram, 2 kilogram, 3 kilogram dan 5 kilogram masih dijual di pasaran.
Malah terdapat sesetengah peniaga masih mengekalkan harga yang lama untuk stok yang lama.
Selain itu, pihaknya turut melakukan pemeriksaan berkala terhadap syarikat pembungkus minyak masak untuk memastikan minyak yang dibungkus dapat diedarkan kepada peruncit untuk kegunaan pengguna.
Pemeriksaan turut dijalankan di setiap rantaian meliputi pembungkus, pemborong dan peruncit bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan minyak masak bersubsidi.