(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)
KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk membuat syor-syor penambahbaikan.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, jawatankuasa itu perlu menyediakan penyata cadangan penambahbaikan RUU berkenaan, dalam tempoh sebulan.
Namun, tempoh boleh dilanjutkan sekiranya perlu, dengan tidak melebihi tarikh hari pertama persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen 14 yang akan datang.
"Suatu usul bagi menyerahkan RUU bagi Kawalan Terhadap Tembakau dan Rokok 2022 kepada jawatankuasa pilihan yang dinamakan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk membuat syor-syor mengenai: satu, meneliti bahagian 9 penguatkuasaan dalam RUU mencadangkan apa-apa penambahbaikan sekiranya perlu, tertakluk kepada undang-undang yang berkuasa berkuatkuasa..dua, meneliti fasal-fasal berhubung dengan penalti bagi kesalahan dalam RUU dan mencadangkan apa-apa penambahbaikan sekiranya perlu," kata beliau di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairy memaklumkan, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh beliau sendiri selain dianggotai 12 lagi ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
(Foto hiasan)
Beliau turut mengesyorkan agar cadangan-cadangan penambahbaikan kawal selia produk tembakau, bahan rokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok yang dibangkitkan ahli dewan rakyat dalam perbahasan, turut diteliti.
Juga termasuk cadangan Jawatankuasa Pilihan Kesihatan Khas Sains dan Inovasi, serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial.
Susulan itu, pembentangan Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2022 di Parlimen hari ini,ditangguhkan.
Terdahulu, majoriti pembahas bersetuju RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 perlu digubal.
Ini bagi mengatasi masalah kelompongan fungsi akta sedia ada, sekali gus sebagai strategi pencegahan kepada penagih rokok dan vape.
Bagaimanapun, RUU tersebut perlu diperhalusi agar dapat diperkasakan penguatkuasaannya pada masa akan datang.