SEPANG, 29 April - Jemaah Haji Malaysia wajib membawa Kad Nusuk setiap masa, terutama semasa memasuki kawasan-kawasan ibadah utama sepanjang musim haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan, Kad Nusuk bukan sekadar dokumen perjalanan, sebaliknya ia dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini seperti kod QR bagi melindungi dan mengesahkan identiti jemaah haji.
Katanya, pelaksanaan sistem itu mampu mempercepatkan proses kemasukan jemaah sambil memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan ibadah.
"Daripada ciri-ciri keselamatan ia lebih terjamin. Maknanya kalau ada sebarang usaha jika untuk menjadikan penduakataja dia ia agak sukar lah. Sebab ia dan dilapisi dengan beberapa lapisan. Kad ini penting kalau katakan jemaah Haji Malaysia, mereka nak masuk ke Arafah, ke Mina, ke Masjid Al-Haram atau Masjid Al-Nabawi, tanpa ada kad ini, jadi mereka tidak boleh masuk," kata Dr Na’im.
Malaysia menjadi negara pertama di dunia menerima agihan Kad Nusuk di tanah air, sebelum berlepas ke Tanah Suci.
Selain itu, seramai 31,600 jemaah haji Malaysia dijadualkan berangkat menerusi 100 penerbangan khas dan penerbangan terakhir dijadualkan pada 1 Jun depan.
Tabung Haji turut menghantar pasukan petugas ke Arab Saudi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara sepanjang musim haji 1446 Hijrah ini.