fb fb fb fb fb

Pendaki wanita cedera di Air Terjun Lasir berjaya diselamatkan

Foto JBPM

DUNGUN, 29 April - Seorang pendaki cedera selepas melakukan aktiviti mendaki di kawasan Air Terjun Lasir di Hutan Lipur Chemerong Dungun, petang semalam.

Wanita berumur 37 tahun itu bagaimanapun berjaya dibawa keluar dari kawasan hutan simpan berkenaan dengan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari pangkalan Subang.

Pegawai Bahagian Operasi JBPM Terengganu Penguasa Bomba Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, mangsa bersama 18 pendaki memulakan ekspedisi mendaki Gunung Chemerong pada Sabtu.

Namun kira-kira 11.32 pagi semalam pihaknya menerima panggilan kecemasan dari malim gunung memaklumkan Salah seorang peserta mengalami keletihan dan kelesuan.

"Sepasukan enam pegawai dan anggota dari Bandar Al Muktafi Bilal Shah digerakkan sebelum pasukan khas STORM bagi operasi menyelamat 1.00 petang semalam.

"Sebaik tiba di lokasi mangsa didapati cedera pada buku lali dan tidak dapat dibawa keluar menggunakan jalan darat," menurut Kasyfi.

Mangsa telah dibawa turun dari lokasi menggunakan helikopter dan mendarat di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail pada 6.43 petang sebelum diserahkan kepada pasukan Perubatan untuk menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Baki 18 pendaki lain selamat tiba di kawasan perkelahan berkenaan kira-kira 10.55 malam. Operasi ditamatkan pada 11.22 malam.

TETITIA YUSOFF