KUALA LUMPUR, 29 April - Bantuan segera akan disalurkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak di sini, susulan insiden kebakaran melibatkan sebuah blok bangunan asrama sekolah itu semalam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, tumpuan pada masa ini adalah memastikan keselamatan pelajar, guru dan seluruh warga sekolah terpelihara.
"Saya telah menerima perkhabaran mengenai musibah kebakaran di SMK Tinggi Setapak.
"Bantuan segera akan disalurkan untuk memastikan kesejahteraan semua terlibat terpelihara,” katanya menerusi hantaran di laman facebook rasminya.
Dalam kejadian semalam, sebuah blok asrama SMK Tinggi Setapak yang menempatkan 91 pelajar lelaki terbakar pada 8.43 malam.
Bagaimanapun, kesemua pelajar dilaporkan selamat kerana kejadian berlaku ketika mereka berada di surau sekolah untuk menunggu waktu isyak.
Komander Operasi Bomba TPgB II Japari Tajuddin memaklumkan kebakaran melibatkan tingkat satu bangunan itu, mengakibatkan 80 peratus bahagian asrama musnah.