fb fb fb fb fb

KBS himpun pemimpin belia pelbagai agama tangani masalah sosial

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan perbincangan meja bulat bersama pemimpin belia pelbagai agama bagi membina kerjasama strategik dengan pemimpin keagamaan untuk menangani masalah sosial belia / Foto RTM

PUTRAJAYA, 29 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menganjurkan sesi perbincangan meja bulat bersama pemimpin belia pelbagai agama dalam usaha membina jaringan kerjasama strategik dengan pemimpin keagamaan bagi menangani masalah sosial dalam kalangan belia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata usaha tersebut penting bagi membentuk masa depan belia yang harmoni dengan menekankan kepentingan perpaduan, sikap saling menghormati serta persefahaman antara komuniti.

“Hari ini, kita telah jemput Jawatankuasa Harmoni untuk duduk bersama kita dalam berhadapan dengan NGO-NGO belia dan Majlis Belia Malaysia yang hadir untuk kita bincangkan isu-isu masalah sosial. Apa yang telah kita bentangkan hari ini merupakan statistik masalah sosial yang dibentangkan oleh IYRES kepada Majlis Belia Malaysia dan NGO belia.

"Apa yang kita nak capai melalui masyarakat ini adalah penyelarasan statistik supaya isu dan data sampai kepada peringkat akar umbi dan semua pertubuhan belia ini tahu mana nak cari bantuan. Yang penting adalah kita hendak belia yang telah menghadapi masalah sosial tahu dapatkan rawatan, tahu mana hendak cari bantuan,” katanya selepas mempengerusikan perbincangan meja bulat itu di Wisma KBS, di sini.

Tambah Hannah, perbincangan turut menyentuh isu-isu sosial yang semakin mencabar termasuk penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, justeru program-program kesedaran akan diperkenalkan untuk menangani gejala tersebut.

Beliau turut menggesa agar golongan belia yang terkesan tidak teragak-agak untuk menghubungi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mendapatkan bantuan dan rawatan.

Sesi perbincangan tersebut disertai oleh lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi keagamaan yang mewakili badan-badan belia, organisasi pelbagai agama serta pemimpin komuniti dari seluruh negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN