fb fb fb fb fb

5,000 belia Johor bakal ikuti Latihan Industri melalui JTDC

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 29 April – Kerajaan Johor menyasarkan seramai 5,000 belia menjalani kursus latihan industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan melalui inisiatif Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi tahun ini.

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata latihan ini penting sebagai persediaan kepada golongan muda untuk memenuhi keperluan semasa industri serta mengambil peluang yang ditawarkan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Sesetengah industri memerlukan pelajar yang memiliki pensijilan khusus untuk diberikan peluang pekerjaan. Maka, kita tawarkan latihan secara percuma kepada para pelajar supaya mereka memenuhi keperluan tersebut.

“Contohnya, sebelum ini kita adakan latihan teknikal untuk data Centre Technician. Kadangkala apa yang dipelajari di institusi pendidikan tidak selari dengan kehendak industri. Jadi kita isi kekosongan itu dengan menyediakan latihan khas agar anak-anak kita bersedia untuk memasuki bidang pekerjaan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan pihak industri untuk menawarkan gaji premium sebagai langkah mengekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Johor serta memberi peluang kepada belia memperoleh pendapatan yang lebih baik.

Setakat ini, lebih 20 syarikat telah bersetuju menggajikan tenaga mahir dengan gaji premium antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Aznan berkata demikian kepada media semasa menghadiri Perasmian Festival Kerjaya Premium, Keusahawanan dan Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dataran UTM, di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD