fb fb fb fb fb

KPM teruskan siasatan dalaman isu Jalur Gemilang

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 29 April – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta semua pihak memberi ruang bagi siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh.

“Kita tidak berkompromi dalam soal siasatan ini dan memohon agar diberi laluan untuk ia dijalankan dengan tegas dan berhati-hati kerana ia melibatkan dakwaan serius. Isu Jalur Gemilang bukan perkara main-main dan kami komited sepenuhnya dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO ke-56 2024, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular beberapa keping imej yang dipaparkan dalam muka surat 14 dan 15 laporan analisis keputusan SPM, memaparkan Jalur Gemilang secara tidak tepat hasil imej dijana kecerdasan buatan (AI).

Susulan insiden tersebut, KPM telah memohon maaf dan mengarahkan semua salinan bercetak laporan analisis itu dikembalikan bagi tujuan pembetulan segera.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut memaklumkan KPM telah mengenal pasti penempatan sementara bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak yang terjejas akibat kebakaran blok asrama semalam.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan kesinambungan pembelajaran pelajar, khususnya yang bergantung sepenuhnya kepada kemudahan asrama.

“Kita ada beberapa opsyen termasuk penyuraian ke asrama berdekatan dan penggunaan kuarters guru bersebelahan. Ibu bapa juga memberi komitmen untuk menghantar anak-anak ke sekolah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sesi pengajaran dan pembelajaran akan dijalankan secara dalam talian buat sementara waktu, sementara buku teks dan kelengkapan sekolah telahpun disalurkan kepada pelajar terlibat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN