fb fb fb fb fb

Presiden Maldives terima Ijazah Kehormat daripada UIAM

Presiden Maldives, Dr. Mohamed Muizzu menerima anugerah Ijazah Kehormat daripada UIAM / Foto BERNAMA

GOMBAK, 29 April 2025 – Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan menyempurnakan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani kepada Presiden Republik Maldives, Dr. Mohamed Muizzu.

Majlis Konvokesyen Khas itu berlangsung di Dewan Utama, Pusat Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini.

Penganugerahan itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan Presiden Muizzu dalam memperkasa pembangunan Islam berteraskan nilai madani, selain memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Maldives.

"Sejak penubuhannya, UIAM telah komited sepenuhnya untuk berkhidmat kepada ummah Islam sedunia termasuklah saudara-saudari kita yang dihormati dari Maldives.

"Sepanjang tahun, universiti ini dengan bangganya telah melahirkan 193 graduan Ijazah Sarjana Muda, 160 graduan Sarjana, dan 27 graduan Kedoktoran dari Republik Maldives," ujar Presiden Muizzu dalam ucapannya.

Tunku Azizah dalam titahnya turut menzahirkan penghargaan terhadap hubungan erat antara UIAM dan Maldives sejak tahun 1983.

Baginda juga mengiktiraf peranan UIAM dalam penubuhan Universiti Islam Maldives serta usaha menjalin kerjasama akademik berterusan dengan institusi pengajian tinggi di negara itu.

Pada majlis itu, Presiden Muizzu turut menyampaikan syarahan umum bertajuk “The Intellectual Renaissance: Unveiling the Scientific and Modern Developments of Islamic Civilisation”, yang menyoroti sumbangan tamadun Islam dalam kemajuan sains dan teknologi moden.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad selaku Menteri Pengiring, serta Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD