SEREMBAN, 29 April – Negeri Sembilan berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM7.25 bilion pada tahun lalu, melibatkan 208 projek yang diluluskan merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan serta sektor-sektor utama lain daripada pelbagai kementerian.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM3.4 bilion atau 46.9 peratus merupakan pelaburan asing, yang kebanyakannya membabitkan projek berteknologi tinggi.
“Antara projek pelaburan asing berteknologi tinggi yang menyumbang kepada jumlah tersebut termasuk projek pembesaran Safran Landing Systems dari Perancis bernilai RM650 juta; projek baharu F&N dari Singapura bernilai RM1.8 bilion; Bartu Antmed Malaysia dari China (RM700 juta); Mynafco Malaysia dari Taiwan (RM300 juta); dan projek pembesaran Shin Heung Sec dari Korea Selatan (RM100 juta),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau), yang diwakili oleh ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN-Jeram Padang), dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Tambah Aminuddin, sejak tahun 2019 hingga Disember 2024, jumlah keseluruhan pelaburan asing yang diluluskan di Negeri Sembilan mencecah RM24.1 bilion, merangkumi pelbagai sektor ekonomi.
Sementara itu, berdasarkan rekod kelulusan projek oleh Invest NS bagi tempoh Januari hingga Februari 2025, sebanyak enam projek telah diluluskan, dengan jumlah pelaburan dianggarkan bernilai RM1.505 bilion.
Daripada jumlah itu, empat projek merupakan pelaburan asing iaitu daripada On Semiconductor (Amerika Syarikat), T. Hasegawa Flavour dan Medijoy dari Jepun, serta In Win Asia dari Taiwan.
Menurut rekod daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan sepanjang tahun 2024 turut berjaya mencipta sebanyak 4,684 peluang pekerjaan baharu di Negeri Sembilan.