KUALA LUMPUR, 29 April- MyFutureJobs, antara pengisian menarik dalam Karnival Kerjaya Mega yang berlangsung selama empat hari bermula semalam sehingga 1 Mei ini, sempena Sambutan Hari Pekerja 2025.
Jelas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ia antara inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi membuka peluang pekerjaan secara lebih mudah dan pantas, seiring perkembangan teknologi semasa.
"Kalau nak bekerja ini, kita kena bawa resume ke merata tempat, bawa ke agensi-agensi ataupun syarikat-syarikat. Kemudian, tengok surat khabar nak cari pekerja. Tetapi, hari ini kita di KESUMA mengambil inisiatif memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada masyarakat dalam negara kita.
Semalam, saya sendiri turun padang lihat di Axiata Arena. Hari ini temu duga dan hari ini dapat jawapan, sama ada berjaya ataupun tidak berjaya. Ini ertinya kami berusaha keras di KESUMA ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat negara kita," kata Abdul Rahman kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pemberita selepas mempromosikan Sambutan Hari Pekerja 2025 dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1.
Seperti kelaziman tahun sebelumnya, acara kemuncak Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei nanti akan mengiktiraf pekerja sektor awam dan swasta menerusi 14 kategori anugerah dengan hadiah keseluruhan bernilai RM140,000.
14 kategori itu termasuk Anugerah Tokoh Pekerja Negara, perkhidmatan awam, pengurusan atasan serta Anugerah Media Terbaik dalam agensi sebagai penghargaan kepada komitmen dan khidmat bakti pekerja di kedua-dua sektor.
Dalam pada itu, konsep kasih sayang perlu dipupuk sesama majikan dan pekerja.
Datuk Seri Abdul Rahman optimis, keprihatinan serta hubungan yang baik antara majikan dan pekerja dapat membantu mempertingkatkan produktiviti dan kualiti sesebuah syarikat atau organisasi.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan caruman PERKESO daripada majikan kepada pekerja.
"Bagi saya, pekerja adalah aset terbesar kepada sesuatu organisasi itu sama ada syarikat ataupun dalam kementerian sendiri. Kalau pekerja-pekerja itu mengamalkan sikap yang yang tidak prihatin pada pekerjaannya, sudah pasti syarikat itu tidak akan mendatangkan keuntungan termasuk juga di dalam perkhidmatan awam, nama dan imej kementerian itu akan terjaga.
Mesti ada hubungan yang erat dan kita mesti melihat apa masalah mereka dan kemudahan-kemudahan mesti kita berikan," tambahnya.