fb fb fb fb fb

SEACON 2025 fokus perkukuh "Jakarta Statement", usaha perangi rasuah serantau

Foto RTM

PUTRAJAYA, 29 April - Persidangan Rantau Asia Tenggara Menentang Rasuah (SEACON) 2025 yang berlangsung hari ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan semula "Jakarta Statement" serta rangka kerja 16 prinsip utama dalam memerangi rasuah di peringkat agensi penguat kuasa serantau.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Datuk Seri Azam Baki berkata, persidangan itu menjadi platform penting kepada agensi antirasuah seluruh Asia Tenggara bagi memperbaharui komitmen kolektif selain memastikan prinsip yang digariskan dalam Jakarta Statement dapat diadaptasi sepenuhnya di setiap negara.

"Ada 16 prinsip telah dikemukakan. Dan sekarang kita nak segarkan semula "Jakarta Statement" itu supaya semua "law enforcement agency, anti-corruption law enforcement agency" dalam South East Asia ini dapat kita memahami dan meneruskan tentang prinsip-prinsip ini dan mencari jalan yang lebih baik bagi tujuan kita untuk membanteras rasuah bersama," kata Azam Baki.

Tambah beliau, pengalaman luas Malaysia dan Singapura dalam membentuk agensi antirasuah sejak puluhan tahun lalu menjadi rujukan utama dalam mengukuhkan kerjasama serantau.

Sempena kepengerusian ASEAN, Malaysia juga bakal memainkan peranan lebih aktif dalam memperkasakan inisiatif membanteras rasuah di rantau ini dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi Persidangan Pihak Berkuasa Anti-Rasuah (CFAC) bawah ASEANFAC pada masa akan datang.

"Kita akan menjadi chairman kepada CFAC, ASEANFAC, yang juga berkaitan dengan ASEAN Meeting. Salah satu daripadanya ialah yang akan saya ketuai, dan saya akan menjadi pengerusi kepada mesyuarat berkenaan. Ini akan memberikan peluang kepada Malaysia untuk memimpin usaha memperkasa kerjasama antirasuah di peringkat serantau," katanya.

SEACON 2025 menghimpunkan pelbagai agensi antirasuah dari negara-negara Asia Tenggara dalam usaha memperkukuh strategi bersama bagi membanteras gejala rasuah secara lebih berkesan.

TETITIA YUSOFF