fb fb fb fb fb

Rundingan dagang Malaysia-AS berjalan lancar - Tengku Zafrul

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul (kiri), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Tengah) dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MITI dan Agensi di Menara MITI, Kuala Lumpur / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 April – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memaklumkan bahawa mesyuarat bersama pentadbiran Amerika Syarikat yang berlangsung pada 24 April 2025 telah diadakan dalam suasana yang positif dan berjalan dengan lancar.

Menurut beliau, dalam pertemuan tersebut, Malaysia berpeluang bertemu dengan wakil utama kerajaan Amerika Syarikat dan kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan rundingan bagi memperkukuhkan kerjasama ekonomi serta menyelesaikan beberapa isu perdagangan yang berbangkit.

“Mesyuarat ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk memperhalusi isu-isu utama dan memastikan hubungan dagangan dapat terus dipertingkat,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri MITI dan Agensi di Menara MITI, dekat sini, hari ini. Majlis turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa penjelasan lanjut mengenai hasil mesyuarat tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri esok.

Tambah beliau, perbincangan susulan bersama wakil Malaysia dan Amerika Syarikat akan diadakan dalam masa terdekat bagi memastikan rundingan dimuktamadkan secara baik tanpa sebarang tindakan tarif balas dikenakan oleh mana-mana pihak.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD