Bekalan makanan asas mencukupi tampung permintaan di Perak

Foto hiasan

IPOH, 17 Mac – Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan bahawa bekalan makanan asas mencukupi bagi menampung peningkatan permintaan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perak membekalkan sehingga 12 juta ekor ayam, 400 tan daging dan 160 juta biji telur setiap bulan untuk pastikan bekalan stabil.
  • Pemantauan berterusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi berkaitan memastikan bekalan mencukupi serta kawalan harga di pasaran.
  • Harga barang dilaporkan berada di bawah harga kawalan atau lebih murah; orang ramai dinasihatkan elak pembelian panik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, Perak membekalkan sehingga 12 juta ekor ayam, 400 tan daging serta 160 juta biji telur setiap bulan bagi memastikan bekalan kepada pengguna kekal stabil.

Pemantauan berterusan turut dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bersama agensi berkaitan bagi memastikan bekalan mencukupi selain harga kekal terkawal di pasaran.

“Berdasarkan lawatan dan temu bual yang dijalankan, kita dapati harga barangan masih berada di bawah harga kawalan, malah ada yang lebih murah. Ini menunjukkan keadaan harga adalah stabil dan tidak membebankan rakyat, khususnya di negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di beberapa lokasi sekitar Ipoh.

Bagaimanapun orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan ayam, daging dan telur mencukupi serta diagihkan secara konsisten sepanjang tempoh menjelang perayaan.