fb fb fb fb fb

Bekalan ayam, telur dan minyak masak paket mencukupi di Kedah

ALOR SETAR, 13 Julai- Barangan keperluan asas harian ayam, telur dan minyak masak paket bersubsidi di Kedah mencukupi dan dan dijual dengan harga yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) di Pasar Besar Alor Setar mendapati para peniaga mematuhi kadar harga berkenaan.

Presiden CAKE Kedah, Mohd Yusrizal Datuk Mohd Yusuf berkata harga ayam yang dijual dipasar itu mengikut harga yang ditetapkan iaitu pada RM9.40 sen sekilogram.

Menurutnya harga tersebut berpatutan yang disifatkan tidak merugikan peniaga dan pengguna disamping bekalan mencukupi untuk keperluan pengguna setiap hari.

Begitu juga, pemantauan ke atas harga telur ayam mendapati dijual pada harga RM4.20 sen untuk 10 biji telur dengan anggaran harga sebiji telur jatuh RM0.42 sen sebiji.

Sementara itu, bekalan minyak masak paket bersubsidi juga dilaporkan mencukupi dan dijual dengan harga RM2.50 sen sepaket.

"Kita juga berharap pengguna tidak membeli secara panik, janganlah membeli terlampau banyak minyak masak paket ini untuk simpan di rumah sehinggakan orang lain tak dapat membeli. Ini perbuatan yang tidak baik," kata Mohd Yusrizal kepada pemberita RTM di Alor Setar.

Pihaknya akan terus membuat pemantauan harga bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang keperluan pengguna seperti yang telah ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).


(Presiden CAKE Kedah, Mohd Yusrizal Datuk Mohd Yusuf berkata kepada pemberita RTM
ketika melakukan tinjauan di Pasar Besar Alor Setar hari ini)

Media Baharu