PUTRAJAYA, 13 Julai- Program pembangunan belia wajar diteruskan bahkan diperluaskan agar lebih ramai anak muda yang berbakat mendapat pendedahan untuk memahami serta mempelajari proses pentadbiran kerajaan di peringkat kementerian dan sektor korporat dalam membangunkan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah membawa Felo Perdana ke Parlimen juga bakal memberi pendedahan pembelajaran dan ilmu perundangan kepada peserta.
"Kamu semua bukan sahaja belajar cara menguruskan negara malah pentadbiran sebagai menteri, cara untuk mengendalikan Parlimen selain belajar berpolitik sewaktu menjadi felo nanti.
Kita mahu mereka bersedia, mereka dapat lihat bagaimana Menteri bekerja, susah senang bergelar pemimpin negara, bagaimana menteri menyelesaikan masalah, ada yang duduk di pejabat sampai pukul 12 tengah malam, kerja tujuh hari seminggu pun boleh lihat. Pendedahan ini bagus supaya dalam kalangan pelajar mengetahui apa sebenarnya yang dilakukan oleh para Menteri," kata Ismail Sabri pada Majlis Penyerahan Program Felo Perdana dan Felo Korporat 2022, di sini.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap sekali gus merasmikan
Program Felo Perdana dan Felo Korporat 2022 di Putrajaya)
Seramai 110 orang peserta Felo Perdana dan Felo Korporat bagi tahun 2022 yang ditempatkan bersama mentor masing-masing terdiri daripada ahli jemaah Menteri dan syarikat korporat terpilih.
Program Felo Perdana dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 2013 bertujuan melatih belia berpotensi dengan kemahiran aras tinggi di samping melibatkan mereka secara langsung dengan penggubalan dan pembentukan dasar kerajaan.