fb fb fb fb fb

Bangkai 11 ekor lembu ditemui di Kuala Nerus mungkin diseludup

KUALA NERUS, 13 Julai- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPVNT) masih menanti hasil keputusan analisa makmal untuk membantu siasatan penemuan 11 ekor bangkai lembu di Kampung Sungai Lekar, Kuala Nerus.

Menurut Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah Kuala Nerus Norehan Ali, hasil keputusan itu dijangka bakal diketahui dalam tempoh seminggu lagi untuk menentukan kesemua haiwan tersebut mati keracunan atau dijangkiti sebarang penyakit.

Menurut beliau lagi, sehingga kini tiada sebarang rekod berkaitan kesemua haiwan yang mati itu khususnya melibatkan sebarang permit bagi tujuan korban sewaktu sambutan hari raya Aidiladha sebelum ini.

Beliau juga tidak menolak sekiranya lembu-lembu tersebut merupakan lembu yang diseludup memandangkan cara pelupusan tidak berperikemanusiaan.

Terdahulu, 11 ekor bangkai lembu dalam keadaan berulat telah dijumpai oleh penduduk setempat di sebuah kawasan terbiar yang terpencil di Kampung Sungai Lekar yang dipercayai dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kalau ikutkan kita dapat makluman dia nak lupus di tempat pelupusan sampah di Sungai Ikan itu tapi dia tidak dapat kebenaran dan dia hendak melupuskannya di sini.

"Kita syak lembu-lembu ini telah mati dalam pengangkutan itu sendiri dan dibuang di sini oleh pihak tidak bertanggungjawab itu," kata Norehan.

 


(Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah Kuala Nerus Norehan Ali)

Media Baharu