fb fb fb fb fb

Bekalan ayam dan telur kembali normal

KUALA LUMPUR, 21 Januari- Jaminan bekalan ayam dan telur kembali normal dan cukup untuk keperluan pasaran tempatan bermula bulan Januari disuarakan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM).

Perkara itu dimaklumkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dalam pertemuan yang diadakan pada 19 Januari lalu.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan dikeluarkan berkata, sehubungan dengan itu, pihak kementerian akan terus komited mengadakan libat urus bersama pemain industri.

Ia bagi memastikan industri ayam dan telur terus mampan supaya bekalan makanan sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat.

Terdahulu, Mohamad Sabu telah mengadakan pertemuan dengan FLFAM yang diketuai Presiden, Tan Chee Hee, di Putrajaya.

Pertemuan berkenaan diadakan bagi membincangkan Memorandum FLFAM berkaitan isu-isu yang menjejaskan kemampanan dan daya saing industri unggas khususnya ayam daging termasuk telur.

Beberapa isu lain yang turut dibangkitkan FLFAM telah dibincangkan bersama mengenai kawalan harga.

Perkara tersebut dalam tempoh yang panjang menyebabkan penternak berhadapan kerugian kerana kos pengeluaran terus meningkat.

(Mohamad Sabu mengadakan pertemuan dengan FLFAM di Putrajaya)

Media Baharu