
SHAH ALAM, 7 Julai – Bekalan air di Selangor kekal mencukupi bagi menghadapi Monsun Barat Daya dan fenomena El Nino yang dijangka berlarutan hingga September ini.
- Sumber air negeri dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan hasil langkah kesiapsiagaan LUAS dan agensi berkaitan.
- Kapasiti kesemua tujuh empangan berada pada tahap baik, melebihi 75 peratus setakat 7 Julai 2026.
- Lebih 140 kolam sumber alternatif dan beberapa bekas lombong dikenal pasti untuk dinaik taraf meningkatkan kapasiti simpanan air mentah.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, sumber air di negeri itu dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan hasil pelbagai langkah kesiapsiagaan yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi berkaitan.
Menerusi satu kenyataan beliau memaklumkan, sehingga 7 Julai 2026, kapasiti kesemua tujuh empangan di Selangor berada pada tahap baik, iaitu melebihi 75 peratus.
Paras air empangan dijangka terus stabil menerusi kawalan pelepasan air mengikut keperluan loji rawatan air serta pelaksanaan Prosedur Operasi Standard Pengurusan Musim Kering Negeri Selangor.
Selain itu, lebih 140 kolam sumber air alternatif dan beberapa bekas lombong di bawah Selangor Off River Storage Scheme dikenal pasti untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti simpanan air mentah.
LUAS turut mengoptimumkan penggunaan air bumi sebagai sumber alternatif, khususnya bagi sektor industri.
Setakat ini, tiga telaga air bumi telah dibina di Hulu Selangor untuk digunakan terutama ketika musim kering.
Dalam masa sama, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan sekiranya kapasiti air empangan menurun kepada 50 peratus dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Pemantauan kualiti sumber air turut diperkasakan menerusi pemantauan 24 jam di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mengesan serta mengawal sebarang insiden pencemaran yang boleh menjejaskan operasi loji rawatan air.