fb fb fb fb fb

Beberapa PPS di Kedah ditutup, banjir semakin pulih

Foto fail

ALOR SETAR, 23 September - Jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kedah terus berkurangan dari masa ke masa berikutan keadaan banjir semakin pulih.

Kebanyakan penduduk telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Setakat pukul 8.00 pagi tadi seramai 7,518 penduduk daripada 2,392 keluarga masih ditempatkan di 37 PPS di lima daerah.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, Daerah Kota Setar masih lagi mencatat angka tertinggi berbanding daerah lain iaitu 4,961 orang daripada 1,616 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS; dan Pendang, 1,570 orang daripada 477 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS. 

"Kubang Pasu pula mencatat jumlah penduduk seramai 634 orang daripada 195 keluarga yang ditempatkan di 5 PPS; Bandar Baharu, 120 penduduk daripada 27 keluarga ditempatkan di satu PPS.

"Manakala di Pokok Sena, seramai 233 penduduk daripada 195 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu PPS Maahad Tarbiyah Islamiah Derang dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang," menurut JBPN Kedah.

Semalam, tiga PPS di Pokok Sena telah ditutup PPS SK Bukit Hijau, PPS Dewan Serbaguna Pokok Sena dan PPS Surau Permatang Limau.

TETITIA YUSOFF