fb fb fb fb fb

Bayi empat bulan maut di rumah pengasuh

Kenyataan pihak polis

NILAI, 7 Januari - Seorang bayi lelaki berusia empat bulan dilaporkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Nilai, Abdul Malik Hasim menerusi kenyataan memaklumkan terdahulu pada Jumaat pihaknya dihubungi Klinik Kesihatan Nilai kira-kira pukul 9.30 pagi, memaklumkan seorang bayi lelaki didapati meninggal dunia ketika berada bawah jagaan seorang wanita dari Rumah Rakyat Nilai.

Dalam siasatan awal, kira-kira pukul 8.30 pagi pengasuh tersebut memberi susu kepada bayi berkenaan kemudian diletakkan secara mengiring di atas toto.

"Tidak lama selepas itu penjaga mendapati terdapat susu yang mengalir keluar daripada mulut bayi berkenaan. Penjaga kemudian mengangkat bayi itu serta menepuk belakangnya serta meminta bantuan jiran membawa bayi tersebut ke Klinik Kesihatan Nilai," katanya menerusi kenyataan itu.

Berdasarkan pemeriksaan awal pihak klinik, tiada tanda-tanda bayi tersebut masih hidup berikutan tidak menunjukkan sebarang tindak balas semasa diperiksa.

Bedah siasat yang dijalankan pada Sabtu di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban melaporkan punca kematian disebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan tiada sebarang kesan kecederaan pada bahagian tubuh bayi tersebut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu siasatan pihak polis.

TETITIA YUSOFF