fb fb fb fb fb

Bayi berusia dua bulan maut nahas enam kenderaan

Kejadian pada pukul 11 pagi itu melibatkan sebuah treler muatan kereta, sebuah lori, tiga kereta dan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan, Arah Selatan

JASIN, 27 Februari - Seorang Bayi lelaki berusia dua bulan maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan, Arah Selatan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Ahmad Jamil Radzi berkata Kejadian pada pukul 11 pagi itu melibatkan sebuah treler muatan kereta, sebuah lori, tiga kereta dan sebuah pacuan empat roda.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua kenderaan dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

"Bagaimanapun ketika di lokasi, treler muatan kereta tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta di lorong kiri jalan sebelum merempuh empat kenderaan lain dari arah belakang," katanya menerusi kenyataan.

Mangsa yang berada dalam salah sebuah kereta mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada pukul 2.55 petang.

Pemandu treler berusia 39 tahun itu ditahan di Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami tekanan darah rendah dan sampel darahnya turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN