KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Bayaran khidmat hutang (DCS) kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat 7.6 peratus kepada RM54.3 bilion atau 16.3 peratus daripada hasil pada tahun ini berbanding peningkatan 9.0 peratus kepada RM50.5 bilion atau 15.6 peratus daripada hasil pada 2024.
Menerusi laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan kadar pertumbuhan DSC yang sederhana itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 4.1 peratus pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025.
“Sebahagian besar perbelanjaan DSC iaitu RM53.5 bilion diperuntukkan bagi bayaran faedah dan keuntungan instrumen domestik manakala baki sebanyak RM0.8 bilion bagi membayar pinjaman luar pesisir.
“Daripada perspektif kecekapan kos, purata wajaran kos pinjaman untuk hutang domestik terkumpul mencatatkan 4.11 peratus pada akhir Jun 2025 (akhir 2024: 4.12 peratus),” menurut MOF.
Kementerian itu memaklumkan keutamaan struktur kupon kadar tetap dalam sekuriti kerajaan terus melindungi portfolio hutang daripada turun naik kadar faedah jangka masa pendek sepanjang tempoh matang yang masih berbaki.
Bagaimanapun, purata wajaran kos pinjaman menunjukkan penurunan marginal daripada tahun sebelumnya membantu mengurangkan pertumbuhan DSC, tambah kementerian itu.
Pinjaman Kasar Kerajaan Persekutuan Turun kepada RM184 bilion
Menerusi laporan yang sama, MOF menjelaskan pinjaman kerajaan Persekutuan kekal sebagai instrumen fiskal utama untuk membiayai defisit dan membiayai semula hutang matang.
“Pada 2025, jumlah pinjaman kasar dianggar terus berkurang kepada RM184 bilion atau 9.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding RM197.5 bilion atau 10.2 peratus daripada KDNK pada 2024, yang diperoleh sepenuhnya menerusi pasaran modal domestik selaras dengan usaha konsolidasi fiskal,” menurut MOF.
Daripada jumlah itu, RM106.8 bilion diperuntukkan untuk bayaran balik hutang yang akan matang manakala RM76.7 bilion untuk pembiayaan defisit, menurutnya.
Kementerian itu memaklumkan bayaran balik hutang yang akan matang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) sebanyak RM46.5 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) RM37 bilion dan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) RM5 bilion.
Bayaran balik hutang itu juga termasuk Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) berjumlah RM13.5 bilion dan penebusan luar pesisir RM4.8 bilion termasuk sukuk global US$1 bilion, tambah MOF.
“Pada 2025, jumlah terbitan MGS dianggarkan sebanyak RM82.5 bilion atau 44.9 peratus daripada jumlah pinjaman kasar tahunan manakala MGII sebanyak RM88 bilion atau 47.8 peratus.
“Sementara itu, MTB dan MITB dijangkakan berkurangan kepada RM4.5 bilion (2.4 peratus) dan RM9 bilion (4.9 peratus),” menurut MOF.
MOF juga menjelaskan setakat akhir Jun 2025, hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.304 trilion atau 64.7 peratus daripada KDNK.
"Daripada jumlah ini, 98.3 peratus terdiri daripada hutang domestik manakala pinjaman luar pesisir berkurangan kepada 1.7 peratus (H1 2024: 2.4 peratus) susulan penebusan sukuk global berjumlah US$1 bilion pada April 2025,” menurutnya.
Menurut MOF, pada akhir Jun 2025 hutang luar Malaysia meningkat 3.9 peratus kepada RM1.403 trilion atau 69.6 peratus daripada KDNK (akhir 2024: RM1.350 trilion; 69.9 peratus daripada KDNK).
“Peningkatan ini didorong oleh penyertaan lebih kukuh pelabur bukan pemastautin dalam sekuriti hutang domestik kerajaan serta terbitan bersih bon dan nota di luar negara yang lebih tinggi oleh syarikat awam," tambah kementerian itu.
Dalam pada itu, hutang sektor awam Malaysia meningkat 4.2 peratus kepada RM1.730 trilion atau 85.8 peratus daripada KDNK bagi tempoh yang sama (akhir 2024: RM1.660 trilion; 86 peratus daripada KDNK), jelas MOF
“Peningkatan ini terutamanya didorong oleh pinjaman kerajaan Persekutuan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 75.4 peratus daripada jumlah hutang sektor awam,” menurut kementerian itu. - BERNAMA