fb fb fb fb fb

Bayaran BKM Fasa Empat dipercepat 15 November ini

BERA, 10 November- Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat akan dipercepat bermula 15 November ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif berkenaan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Jelas beliau, pembayaran membabitkan peruntukan bernilai RM2.1 bilion dan akan dikreditkan secara berperingkat ke akaun 5.2 juta penerima yang layak daripada pelbagai kategori.

Setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

"Keputusan mempercepat pembayaran BKM Fasa Empat daripada Disember kepada November adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada pertengahan bulan ini.

Jika bayaran dikreditkan lewat dan sudah berlaku banjir, ia akan menyusahkan rakyat untuk mengeluarkan wang di bank," katanya.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Bor di Kuala Bera, di sini.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

Jelas beliau, secara keseluruhan, RM8 bilion diperuntukkan menerusi BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima untuk tahun ini.

Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai 15 November ini.

Maklumat lanjut berkaitan pembayaran boleh dirujuk di portal rasmi BKM menerusi pautan https://bkm.hasil.gov.my.


Media Baharu