fb fb fb fb fb

Speaker Dewan Rakyat ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja

(Foto Hiasan)

PUTRAJAYA, 10 November- Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun akan mengetuai delegasi Malaysia selaku Wakil Khas kepada Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, pada 10 hingga 13 November 2022.

Beliau akan diiringi pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra, selain daripada Sidang Kemuncak ASEAN, Tan Sri Azhar akan turut menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu dengan Pemimpin dari Australia, Kanada, China, India, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

"Malaysia akan menyertai Sesi Suamuka antara Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).

"Selain itu, pemimpin-pemimpin ASEAN juga akan mengadakan kunjungan menghadap ke atas Yang Mulia Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni, Raja Kemboja," menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, penyertaan Malaysia ke Sidang-sidang Kemuncak ASEAN pada kali ini menzahirkan komitmen yang teguh terhadap ASEAN, termasuk dalam mengetengahkan kepusatan dan kesatuan ASEAN, usaha-usaha pembangunan komuniti serta penglibatan dan kerjasama berterusan dengan Rakan-rakan Dialog ASEAN serta pihak luar, tatkala menghadapi dinamik serantau yang semakin mencabar dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di peringkat global.

"Malaysia juga akan mengulangi pendiriannya mengenai situasi di Myanmar dan akan menyeru supaya ASEAN mengambil pendirian yang lebih tegas berhubung isu ini dalam perbincangan semasa Sidang-sidang Kemuncak ASEAN," menurut kenyataan itu.


(Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun)

Berita berkaitan: 
Sidang Kemuncak ASEAN bermula Jumaat ini

Media Baharu