fb fb fb fb fb

Bayaran BMT dipercepat 15 November ini, bantu pekebun kecil getah hadapi musim tengkujuh

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob )

BERA, 10 November - Pembayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada lebih 232,000 pekebun kecil seluruh negara yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan dipercepatkan.

Pembayaran tersebut dijangka akan mula dibayar kepada pekebun kecil getah mulai 15 November ini bersama-sama dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bayaran BMT sebanyak RM300 itu dipercepatkan bagi membantu pekebun kecil menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka mula melanda negara pertengahan bulan ini.

"Bantuan musim tengkujuh untuk bulan November akan mula dibayar pada 15 November ini, kita bayar cepat, takut banjir semua, jadi kita bayar cepat, bulan Disember pun kita akan bayar dan untuk tahun depan, bajet itu bajet tahun depan, tahun ini kita dapat RM600 untuk bantuan musim tengkujuh," kata beliau ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur di Padang Kampung Charuk Puting, di sini hari ini.


(Foto fail)

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan juga calon ADUN Guai, Datuk Sabariah Saidin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan juga telah bersetuju untuk menaikkan kadar pembayaran BMT daripada RM600 pada tahun ini kepada RM800 bagi tahun hadapan.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan, bayaran BMT bagi tahun adalah berjalan seperti biasa dan tidak terjejas meski pun dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melibatkan peruntukan lebih RM191 juta.

Pada pukul 6 petang tadi, Perdana Menteri turut berkesempatan beramah mesra bersama penduduk dan jentera parti Barisan Nasional (BN) di Kampung Paya Mengkuang Ladang di Bera.

Media Baharu