KUALA LUMPUR, 9 November- Batik Air dan Flydubai mengumumkan kerjasama bagi memudahkan sambungan penerbangan antara Malaysia, Asia Barat, dan destinasi global yang lain.
Kerjasama strategik itu dilihat akan meningkatkan lebih banyak pilihan destinasi dan memperkukuh hubungan ekonomi antara rantau.
Dengan menggabungkan rangkaian kedua-dua syarikat penerbangan, ia akan memudahkan perjalanan ke destinasi baharu dan mempererat hubungan antara Malaysia dan pelbagai lokasi global.
Melalui perjanjian ini juga, penumpang kini dapat mengakses sambungan penerbangan ke 38 destinasi.
Ia termasuk Asia Barat, Afrika, Asia Tengah, Kaukasus, Eropah Tengah dan Eropah Tenggara.
Perjanjian itu juga membuka akses ke 42 destinasi di Asia Tenggara dan kawasan lain, yang memudahkan perancangan perjalanan antara benua.
Di samping itu, proses daftar masuk dan pengurusan bagasi turut diselaraskan, memastikan perjalanan berbilang destinasi menjadi lebih efisien dan lancar.