fb fb fb fb fb

Batal lesen bungkus minyak masak bersubsidi, kenakan tindakan undang-undang - KPDN

Foto hiasan

PAPAR, 10 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membuat pengumuman berhubung pembatalan lesen syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi yang didapati menyalahgunakan lesen yang diberikan selepas Mac ini kata Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali.

Perkara itu akan diumumkan selepas proses audit selesai.

Beliau berkata, selain pembatalan lesen serta merta, proses tindakan undang-undang juga akan dipertimbang untuk dikenakan terhadap syarikat terlibat.

Kerajaan memandang serius isu berkenaan terutama masih ada ketirisan berlaku sedangkan berdasarkan kuota setiap bulan, terdapat 60 juta paket minyak masak dalam pasaran.

"Kita tidak mahu ada mana-mana pihak yang dibiarkan berterusan untuk sabotaj satu program baik kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan, iaitu menjual minyak masak paket ini pada kadar jauh murah daripada pasaran RM2.50 sepaket 1kilogram tersebut.

"Jadi mana-mana pihak yang kita dapati terlibat dalam penyelewengan ketirisan ini akan dikenakan tindakan serta merta untuk membatalkan syarikat tersebut," katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout program Jualan Rahmah madani di Kinarut, di sini.

Dalam pada itu, Armizan meluahkan kekecewaan kerana masih berlaku ketirisan minyak masak jenis paket di kawasan Pantai Timur Sabah seperti di Tawau dan Lahad Datu meskipun 90 peratus syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi itu beroperasi di daerah tersebut.

Ketirisan dan tindakan sabotaj subsisdi minyak masak membawa implikasi kewangan yang cukup besar kepada negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI