NILAI, 10 Mac- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan pihak Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta kolej-kolej yang berada bawah kementerian itu untuk memberikan penekanan terhadap baik pulih infrastruktur dan mengganti peralatan usang di institusi masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, fokus utama KPT ialah menambah baik fasiliti IPTA bagi memastikan infrastruktur, bangunan dan peralatan berada dalam keadaan selamat serta berfungsi dengan baik untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.
"Kita perlu berikan perhatian, saya telah menekankan aspek untuk diberikan kepada kampus-kampus khususnya pada tempat penginapan pelajar-pelajar kita kerana ada tempat penginapan yang langsung tidak dibaik pulih selama lebih dari 20 tahun dan keadaan asrama usang dan sebagainya," katanya dalam sesi dialog Pemukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) bersama-sama 95 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Baru Enstek di sini.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengingatkan pihak universiti agar membuat persediaan awal sekiranya berlaku gangguan bekalan air di kawasan institusi masing-masing. Beliau mengambil contoh kejadian gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa Institusi Pengajian Tinggi Swatsa (IPTS) termasuk di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Terkini, enam telaga tiub yang dibina di UMS menggunakan dana bernilai RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 26 Mac ini.
Pada masa sama kira-kira 20 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Awam (UA) serta tujuh MPP Institusi Pengajian Tinggi Swatsa (IPTS) di seluruh negara bakal menerima peruntukan sebanyak RM20,000.
Peruntukan tersebut diumumkan Zambry bagi MPP yang menyertai sesi dialog pemukiman itu.
"Ini merupakan salah satu daripada pendekatan yang kementerian sedang lakukan dalam usaha untuk kita mebina kepimpinan mahasiswa supaya mereka dapat membuat persiapan dalam menerajui kepimpinan masa kini dan masa akan datang," katanya.
Platform KARISMA tersebut juga diharap dapat menjadi satu penghubung antara pemimpin mahasiswa dengan kepimpinan tertingi negara.