fb fb fb fb fb

Bas kilang terbabas, pemandu dan 12 penumpang cedera parah

DURIAN TUNGGAL, 25 September- Seramai 38 pekerja kilang termasuk pemandu bas berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki mereka terbabas ke dalam tebing di Jalan Simpang Gading, Melaka malam tadi.

Dalam kejadian pada 7.50 malam itu, 12 orang penumpang dan pemandu cedera parah, manakala penumpang lain mengalami cedera ringan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain berkata, kesemua 13 mangsa termasuk pemandu yang cedera parah telah dibawa ke Hospital Jasin.

Kesemua pekerja kilang yang terlibat dalam kemalangan itu adalah warga Myanmar dan Nepal, manakala pemandu bas merupakan warga tempatan.

"Siasatan awal mendapati bas tersebut sedang dalam perjalan untuk menghantar pekerja ke kilang pulang ke kediaman mereka, sebelum menggelungsur ke dalam tebing yang berketinggian 50 meter dari jalan raya dan tersangkut pada pokok", katanya kepada media di Durian Tunggal.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan pada jam 7.57 malam dan tiba ke lokasi kejadian 10 minit kemudian.

Seramai 27 pegawai dan anggota bomba dari 3 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Jasin Bestari dan Alor Gajah terlibat dalam operasi menyelamat selama 45 minit itu.


(Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain)

Media Baharu