fb fb fb fb fb

PM dijadual ke UAE sempena lawatan kerja bermula esok

PUTRAJAYA, 25 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula esok sehingga 29 September.

Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri dijangka bertemu Presiden UAE, Mohamed Zayed Al Nahyan di Istana Presiden di Abu Dhabi.

Ia merupakan pertemuan pertama Datuk Seri Ismail Sabri dengan pemimpin baharu UAE itu selepas Mohamed Zayed dilantik sebagai Presiden pada 14 Mei lepas.

"Agenda perbincangan utama antara kedua-dua pemimpin adalah termasuk meneroka bidang kerjasama yang berpotensi bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan UAE

Antara bidang tumpuan baharu adalah ekonomi digital, keselamatan makanan, pendigitalan pendidikan, tenaga boleh diperbaharui serta penyertaan Malaysia dalam Program Legasi 5-Tahun," menurut kenyataan itu.

(Kenyataan media Wisma Putra)

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

"Perdana Menteri dijadual akan melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).

Fokus utama adalah prospek kerjasama antara ADNOC dan PETRONAS dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui," menurut kenyataan itu lagi.

Pada tahun 2021, UAE merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan UAE tahun lepas meningkat 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion berbanding RM20.65 bilion pada 2020.

Media Baharu