fb fb fb fb fb

JAIM ambil tindakan tatatertib kesilapan infografik khutbah Jumaat

Rahmad Mariman

TELOK MAS, 23 September- Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah mengambil tindakan terhadap empat orang kakitangannya berhubung kesalahan maklumat dalam infografik pada slaid (tayangan) yang dipaparkan ketika khutbah Jumaat pada 20 September lalu di negeri itu.

Perkara itu disahkan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

"Kami di peringkat Jabatan Agama Islam telah membuat siasatan dan mendapati memang benar terdapat kesilapan. Kami memohon maaf atas kesilapan tersebut, dan tindakan tatatertib telah diambil terhadap semua yang terlibat, termasuk Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid," katanya.

Menerusi paparan infografik tersebut, gambar bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditampilkan, berbanding potret Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Selain itu, gambar Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang juga digunakan dalam slaid berasingan semasa tayangan khutbah tersebut.

JAIM kemudian mengeluarkan kenyataan maaf berhubung kejadian itu dan meminta semua masjid di Melaka menarik balik slaid berkenaan.

Rahmad ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Al-Qusyairi di Kampung Tersusun, Bukit Larang, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

SITI AISHAH MD ISA