fb fb fb fb fb

GISBH: Empat beradik terpisah dengan bapa sejak 2021 diselamatkan

FOTO PDRM

KUALA LUMPUR, 23 September- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan empat beradik yang terpisah dengan bapa mereka sejak tiga tahun lalu menerusi Op Global Fasa 4 yang dijalankan berhubung kes GISB Holdings (GISBH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan salah seorang mangsa adalah kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa dera dalam video tular baru-baru ini.

"Menerusi fasa keempat ini, kami berjaya menyelamatkan empat orang adik-beradik berumur enam hingga 11 tahun di Tapah, Perak, yang telah terpisah dengan bapa mereka sejak 2021.

"Salah seorang mereka adalah kanak-kanak yang muncul dalam video tular di TikTok  yang dirotan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Razarudin berkata Op Global Fasa 4 yang bermula pada Sabtu lepas turut menyaksikan penahanan 156 individu melalui serbuan di 280 premis di Semenanjung Malaysia.

Operasi berkenaan juga menyelamatkan 187 mangsa termasuk kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuka 11 rumah selamat untuk 87 mangsa, terdiri daripada 100 lelaki dan 87 perempuan. Kesemua mangsa telah menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan diserahkan kepada JKM," katanya.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA