fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Kedah berkurangan kepada 7,174 orang malam ini

Kesemua penduduk terjejas daripada 2,310 keluarga itu kini ditempatkan di 34 PPS di empat daerah yang terjejas.

KUALA LUMPUR, 23 September- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah dilaporkan terus berkurangan kepada 7,174 orang setakat 8 malam ini berbanding 7,252 pada petang tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua penduduk terjejas daripada 2,310 keluarga itu kini ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang terlibat.

Kota Setar masih merekodkan jumlah tertinggi iaitu 4,943 orang diikuti Pendang (1,606), Kubang Pasu (552) dan Pokok Sena sebanyak 73 orang.

Laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR masih kekal berada pada paras bahaya.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah penduduk terjejas banjir kekal 29 orang setakat 8 malam ini dan mereka masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Kerian.

Menurut JPS, Sungai Perak di Teluk Sena dalam daerah Perak Tengah berada pada tahap bahaya dengan paras air setinggi 13.18 meter.- BERNAMA

 

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI